Teks : husna bakar
Sumber : harian metro
Memiliki dapur dengan peralatan memasak yang lengkap tentunya menjadi idaman
setiap wanita yang bergelar ibu di rumah. Tidak kira diperbuat daripada kayu,
plastik mahu pun aluminium, peralatan dapur itu perlu dijaga dengan teliti bagi
memanjangkan tempoh penggunaannya.
Ini kerana sisa kotoran, lemak atau lebihan makanan yang tertinggal dan
tidak dicuci bersih boleh merosakkan peralatan berkenaan. Sisa bahan masakan
yang melekat pada peralatan dapur juga boleh menjadi sarang kepada pembiakan
bakteria atau kulat dan dikhuatiri ia boleh menyebabkan berlakunya keracunan
makanan.
Berikut adalah beberapa panduan yang boleh diikuti supaya peralatan dapur sentiasa bersih dan baru !
1. Peralatan dapur berasaskan kayu
Peralatan seperti senduk sup dan alatan menumis
biasanya diperbuat daripada kayu. Untuk memastikan peralatan daripada kayu
tahan lebih lama atau bebas daripada sisa potongan daging, anda boleh
menyapukan dengan beberapa titik minyak sebelum digunakan.
Bagi mengelak peralatan berkenaan daripada berbau makanan, rendamkan ia
seketika dengan air yang mengandungi campuran sedikit cuka.
Sebaik saja selesai menggunakan peralatan berkenaan, segera bersihkan
permukaannya dengan sabun dan kemudian bilas di bawah air mengalir. Seeloknya,
biarkan ia kering sebelum menyimpannya.
2. Peralatan dapur berasakan plastik
Peralatan dapur yang diperbuat daripada plastik seperti pinggan untuk
kanak-kanak paling mudah berminyak dan susah untuk dibersihkan.
Ada yang menggunakan petua merendam seketika dalam air campuran serbuk penaik
dan ada juga menggunakan limau nipis sebagai bahan pencuci sampingan.
Namun, bagi memudahkan ia dibersihkan, peralatan plastik juga elok jika
direndam dengan air yang dicampur sedikit serbuk penaik.
Rendam selama 10 minit dan cuci menggunakan sabun serta span yang lembut.
Kemudian bilas dengan air bersih dan pasti hasilnya membuat anda tersenyum.
3. Peralatan dapur berasaskan aluminium
Jika peralatan dapur aluminium anda sudah bertukar hitam, cara terbaik untuk
mencucinya adalah menggunakan air dan krim tartar.
Jerang satu liter hingga mendidih dan campurkan sedikit krim tartar.
Kemudian, masukkan peralatan aluminium berkenaan selama 10 minit sebelum
menggosok dan mencucinya seperti biasa.
Bagi memastikan keadaan luarannya kekal cantik tanpa sebarang cela, segera
keringkan air setiap kali selepas mencuci.
Ini kerana air yang tidak dikeringkan dengan sempurna akan meruap pada
permukaan peralatan dan kemudian meninggalkan kesan yang tidak diingini.